Rabu, 28 Oktober 2015

KES PENDERAAN KANAK-KANAK


Kanak-kanak bermaksud mereka yang berusia lapan belas tahun ke bawah seperti yang termaktub
dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Manakala, penderaan kanak-kanak pula didefinasikan sebagai perbuatan zalim atau perlakuan yang mengasari seseorang kanak-kanak baikpun dari segi fizikal dan mental. Mendera kanak-kanak merupakan satu kesalahan besar dan boleh dikategorikan sebagai jenayah berat. Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak harus diberi pelindungan tidak boleh dianiaya, dibiarkan tanpa pengawasan dan dijadikan pengemis. Jika disabitkan kesalahan, seseorang individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Secara amnya, penderaan kanak-kanak dapat dibahagikan kepada tiga iaitu;
  • Penderaan fizikal                         
  • Penderaan mental
  • Penderaan seksual

Penderaan fizikal

Penderaan fizikal kanak-kanak bermaksud kecederaan secara tidak sengaja. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari pengabaian atau kecuaian ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggung jawab untuk menjaga kanak-kanak. Penderaan jenis ini dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal seperti lebam, luka, calar dan sebagainya.


Penderaan mental

Penderaan mental kerap terjadi tetapi sukar untuk dibuktikan dan tidak dapat dilihat dengan pancaindera, namun kesannya dapat dilihat melalui perkembangan pertumbuhan kanak-kanak itu. Kanak-kanak yang mengalami penderaan mental atau emosi kebiasaannya mengalami kemurungan, takut untuk bersuara dan suka manyendiri. Kebanyakan remaja yang mempunyai masalah sosial adalah disebabkan oleh sejarah hitam yang pernah mereka alami semasa kecil seperti didera, dipukul ibu bapa dan sebagainya.


Penderaan seksual

Penderaan seksual kebiasaannya terjadi kepada kanak-kanak perempuan. Penderaan ini merujuk kepada sebarang perlakuan individu yang memaksa, memperdaya atau mengugut kanak-kanak yang mendorong berlakunya hubungan seksual dengan mereka. Penderaan jenis ini boleh menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal dan kecederaan mental kepada kanak-kanak tersebut, Contohnya seperti kemurungan, tekanan emosi, trauma dan sebagainya. Penderaan jenis ini akan menyebabkan berlakunya masalah kepada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak



Antara kesan yang dialami oleh kanak-kanak yang didera ini ialah

Kesan fizikal

  • Penderaan kanak-kanak kebiasaannya dapat dilihat dengan jelas melalui kecederaan pada anggota fizikal mereka seperti luka di kepala, badan dan muka. Luka pada bahagian ini akan memberi kesan yang buruk terhadap mereka apabila meningkat dewasa. Di samping itu, terdapat juga kes kematian yang dilaporkan akibat penderaan kanak-kanak ini. Kerencatan otak juga boleh berlaku akibat hentakan di kepala oleh benda-benda keras.
Gangguan emosi dan mental

  • Penderaan yang dialami  akan menyebabkan seorang kanak-kanak berasa tertekan dan mengalami gangguan dari segi emosi dan mental. Kebiasaannya kanak-kanak ini merasakan diri mereka tidak disayangi. Mereka juga sering berada dalam ketakutan dan menjadi lebih pasif. Hal ini juga akan mengakibatkan kemerosotan dalam pelajaran seterusnnya mendorong kepada berlakunya masalah sosial


Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah berlakunya kes penderaan kanak-kanak

Penguatkuasaan undang-undang
  • Pihak kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal kepada pendera kanak-kanak. Hal ini akan menyebabkan seseorang pendera berasa takut untuk melakukan penderaan ke atas kanak-kanak.
Mengadakan kempen anti-penderaan
  • Kempen kesedaran perlu diadakan secara berkala bagi mendedahkan masyarakat tentang cara mencegah kes penderaan kanak-kanak ini. Kempen ini juga menerangkan tentang bahayanya melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Kesimpulannya, kes penderaan kanak-kanak merupakan satu perbuatan yang zalim. Kes ini kebiasaanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, untuk mencegah daripada berlakunya kes penderaan kanak-kanak ini, ibu bapa harus sedar tentang tanggung jawab dan peranan mereka untuk mendidik dan membesarkan anak-anak. Ungkapan melayu ada menyebut, anak ibarat kain putih ibu bapalah yang mencorakkan mereka.



Ahad, 25 Oktober 2015

KEBAIKAN SEKTOR PELANCONGAN KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA


Tahun Melawat Malaysia dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 1990 bertemakan "Mengagumkan Malaysia. Tahun perayaan". Tema ini diguna pakai untuk menggambarkan negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum. Selain itu, maskot Orang Utan yang dinamakan "Wira" digunakan dalam kempen mempromosikan Malaysia ini. Bangunan Sultan Abdul Samad juga dijadikan sebagai logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 1990. Tahun Melawat Malaysia 1990 menjadi titik tolak kepada Tahun Melawat Malaysia 1994, 2007, 2014 dan Tahun Melawat Malaysia yang akan datang. Sasaran kerajaan adalah untuk menerima 36 juta pelancong dan RM168 bilion pendapatan pada tahun 2020, seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.

Antara sumbangan sektor pelancongan ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sektor pelancongan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya dalam bidang perniagaan, perhotelan dan sebagainya. Hal ini dapat membantu masyarakat setempat menambah sumber pendapatan harian mereka. Penduduk setempat boleh menjadi pemandu pelancong, membuka restoran-restoran kecil di tepi jalan dan mewujudkan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS). Secara tidak langsung, sektor ini dapat mengurangkan masalah pengangguran di negara kita.

Kebaikan lain yang diperolehi melalui sektor pelancongan adalah pendapatan negara dapat di tingkatkan melalui pertukaran mata wang asing. Pelancong antarabangsa yang melancong di Malaysia perlu melakukan pertukaran wang negara mereka kepada ringgit Malaysia untuk berbelanja di negara ini. Negara juga mendapat keuntungan melalui kadar pulangan tukaran wang asing.  Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam seperti agensi pelancongan, bas, teksi dan sebagainya. Mereka juga membelanjakan wang untuk membeli cenderamata sebagai kenangan untuk dibawa balik ke negara mereka. Keuntungan daripada hasil ini boleh disumbangkan kepada pembangunan negara.

Di samping itu, sektor pelancongan juga mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Misalnya melalui kejohanan Formula 1 di Litar Sepang membolehkan peminat-peminat F1 ini datang ke Malaysia untuk menyaksikan kejohanan sambil menerokai tempat-tempat pelancongan yang ada di negara kita. Malaysia juga terkenal dengan adat resam serta budaya tersendiri yang dipelihara hingga kini. Dengan adanya Tahun Melawat Malaysia ini, kita dapat menunjukkan budaya dan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Tapak warisan dunia seperti Tapak Arkeologi Lembah Lenggong Perak,Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Taman Kinabalu, Sabah, serta Bandar Bersejarah Melaka dan Georgetown juga dapat menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk lebih memahami sejarah awal dan keindahan Malaysia.

Sektor pelancongan juga mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam bidang perhotelan, perumahan dan pengangkutan di negara kita. Hal ini kerana keadaan negara yang stabil dari segi ekonomi dan politik menyebabkan ramai pelabur berani untuk melakukan pelaburan di Malaysia. Kemasukan pelancong asing juga merupakan antara faktor utama pelabur asing memilih Malaysia. Kehadiran pelabur asing ke negara kita dapat meningkatkan taraf hidup penduduk miskin di negara kita. Hal ini kerana bilangan pekerja buruh dan mahir diperlukan untuk menyiapka sesuatu projek.

Kesimpulannya, sektor pelancongan banyak mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara itu sendiri. Hal ini kerana melalui sektor pelancongan, kita dapat meningkatkan ekonomi seterusnya membangunakan negara  menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, untuk merialisasikan wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri yang ke empat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, semua pihak harus berganding bahu untuk memajukan lagi sektor pelancongan di Malaysia.

Jumaat, 23 Oktober 2015

KES PEMBUANGAN BAYI APAKAH KESUDAHANNYA?

    



Malaysia telah mendapat kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 iaitu lebih lima puluh lapan tahun yang lalu. Selaras dengan kemerdekaan, pembangunan negara ini juga semakin berkembang pesat setaraf negara-negara membangun yang lain. Malaysia juga semakin menapak ke hadapan untuk mencapai status negara maju. Namun begitu, pemikiran sebahagian daripada penduduk negara ini masih lagi kuno. Hal ini dapat dikaitkan dengan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa di Malaysia. Individu yang terlibat dalam kes ini kebiasaanya terdiri daripada golongan remaja. Persoalannya apakah yang menyebabkan berlakunya kes ini? 


           
                              Sumber : Harian Metro Ahad 5/10/2010


             

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kes pembuangan bayi dari tahun 2004 hingga 2010 sahaja terdapat sebanyak 555 kes yang dilaporkan. Statistik ini tidak termasuk kes pembuangan yang tidak dilaporkan.

Antara faktor utama yang mendorong kepada berlakunya kes pembuangan bayi ialah faktor kurangnya didikan agama. Peratusan remaja yang terlibat dalam kes ini kebiasaanya kurang pengetahuan dari segi didikan agama dan nilai moral. Golongan ini selalunya tidak dapat membezakan perbuatan baik dan buruk. Mereka melakukan sesuatu perkara mengikut kemahuan diri tanpa memikirkan kesan baik dan buruk yang akan terjadi. Cinta yang menebal kepada pasangan juga mempengaruhi perbuatan zina seterusnya berlakunya pertambahan kes pembuangan bayi di negara kita ini.

Runtuhnya institusi kekeluargaan  juga penyebab berlakunya isu ini. Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi individu terutamanya golongan remaja. Remaja memerlukan perhatian yang lebih pada tahap ini. Hal ini kerana, golongan remaja sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan mengalami banyak perubahan drastik. Akibat daripada itu, remaja  sering kali mempunyai emosi yang tidak stabil dan mudah terpengaruh. Sifat ingin tahu juga menyebabkan golongan ini melakukan sesuatu di luar jangkaan. Pada masa ini, ibu bapa bertanggung jawab membimbing  dengan menerapkan nilai-nilai murni dan pengetahuan ilmu agama dalam diri anak-anak.


Selain itu, media massa juga merupakan penyebab berlakunya peningkatan kadar pembuangan bayi. Ini kerana, maklumat dengan mudahnya boleh diakses menggunakan media elektronik seperti telefon pintar, internet. Tidak dinafikan bahawa media elektronik mempunyai banyak kebaikan, tetapi ianya juga mempunyai banyak keburukan. Antaranya laman sosial yang memaparkan gambar dan video yang tidak sesuai ditonton. Oleh itu, remaja mudah melayari apa sahaja yang mereka kehendaki termasuk juga bahan-bahan lucah dan filem berunsurkan seks. Akibatnya berlaku penzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi di Malaysia.


Jesteru itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan bilangan kes pembuangan bayi di negara kita. Masalah ini akan menjadi lebih teruk jika tidak ditangani dengan segera. Kerjasama semua pihak adalah penting dalam membendung masalah kes pembuangan bayi di Malaysia. Selaras dengan pencapaian negara menjelang tahun 2020, Malaysia juga mempunyai kadar kes pembuangan bayi yang rendah di dunia.



Isnin, 5 Oktober 2015

FAKTOR DAN PUNCA BERLAKUNYA LUMBA HARAM DI MALAYSIA

Hasil carian imej untuk lumba haram
 
                Hasil carian imej untuk lumba haram

Hasil carian imej untuk lumba haram               


Lumba haram merupakan satu aktiviti perlumbaan yang diadakan di atas jalan raya tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Kegiatan lumba haram sering dikaitkan dengan motosikal dan kereta, kebiasaannya lumba haram dijalankan di waktu tengah malam terutamanya dimalam-malam minggu. Kegiatan ini kebiasaanya berlaku di bandar-bandar besar seperti di ibu kota. Golongan remaja dan belia merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan kegiatan lumba haram ini. 

Kegiatan lumba haram ini banyak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. hal ini kerana, individu atau kelompok pelumba yang terlibat dalam aktiviti ini bersikap mementingkan diri sendiri kerana mereka tidak mempedulikan keselamatan pengguna yang lain. Selain itu, mereka juga tidak menghargai nyawa yang telah dikurniakan kepada mereka. Pengaruh alkohol dan dadah juga sering dikaitkan dengan golongan pelumba haram ini. 


Statistik kemalangan di Malaysia menunjukkan berlakunya peningkatan indeks kemalangan jalan raya setiap tahun yang menyebabkan berlakunya peratusan kematian rakyat di Malaysia yang berpunca daripada kemalangan jalan raya. Kemalangan yang melibatkan kenderaan jenis motosikal berada di tangga tertinggi yang direkodkan di negara ini. Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang memegang rekod kemalangan jalan raya di dunia. Pada tahun 2014 sahaja iaitu dari bulan Julai hingga Disember, graf peningkatan kemalangan meningkat dari 1619 kepada 1772 kemalangan.








 Antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kemalangan ini adalah disebabkan oleh gejala lumba haram selain daripada faktor pengguna itu sendiri yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas, keadaan jalan raya dan keadaan kenderaan yang kurang baik.



Antara punca utama yang menyebabkan berlakunya kegiatan lumba haram ini ialah kurangkan didikan agama atau kurangnya perhatian daripada ibu bapa. ibu bapa merupakan orang penting dalam membentuk keperibadian anak-anak.Seseorang anak kecil itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan keperibadian anak itu.Ibu bapa juga merupakan role model kepada anak-anak. Kebanyakan ibu bapa zaman moden ini lebih mementingkan kekayaan dan kerjaya. Mereka terlalu sibuk mencari rezeki sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak-anak. mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penjaga. Situasi ini menyebabkan anak-anak lebih cenderung untuk meluangkan masa bersama rakan sebaya.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca terpenting yang mendorong berlakunya gejala lumba haram. Rakan sebaya sering kali menjadi tempat luahan perasaan kerana kurangnya perhatian daripada ibu bapa. Hal ini demikian akan menyebabkan mereka mudah mengikut kata rakan sebaya mereka berbanding ibu bapa. Mereka juga sering terikut-ikut perkembangan dalam dunia yang serba canggih ini. Secara tidak langsung, mereka akan mudah terikut dan mula berjinak-jinak dalam aktiviti tidak bermoral seperti lumba haram ini.


Kegiatan lumba haram juga boleh menyebabkan seseorang individu itu melakukan jenayah yang lebih besar seperti penagihan dadah, jenayah ragut, rogol dan sebagainya. Aktiviti ini pada mulanya disertai oleh seseorang hanya untuk menghabiskan masa terluang dan kebosanan, tetapi lama kelamaan ianya akan menjadi satu kebiasaan dan keseronokan. Pergaulan bebas antara dua jantina juga menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes pembuangan bayi di Malaysia. Ganjaran seperti wang taruhan pula menyebabkan lahirnya penagih-penagih baru di negara ini.  


Kesimpulannya, kegiatan lumba haram ini lebih cenderong ke arah negatif selain akan meningkatkan bilangan jenayah dan penjenayah di Malaysia. Ibu bapa terutamanya harus mengambil tahu perkembangan anak anda dari masa ke semasa agar tidak berlakunya perkara yang tidak diingini. Jesteru itu, semua pihak haruslah bersama-sama berganding bahu berusaha menangani gejala lumba haram ini sebelum nasi menjadi bubur.






Sabtu, 3 Oktober 2015

KERANAMU MALAYSIA



Bila kubuka mata
Hidupku indah aman damai sejahtera
Tidur lena makan sempurna
Walau sekadar ada
Sekolah tinggi tiada siapa paksa
Semuaku perolehi keranamu Malaysia

Dari kecil hingga dewasa
Ibu ayah sentiasa ada
Keluarga bahagia walaupun hidup tak kaya
Aku tak pernah dijajah sesiapa
Bebas untuk berfikir apa sahaja
Iniku peroleh keranamu Malaysia

Ku masih dapat menghirup udara nyaman
Ku masih dapat melihat hijau dedaunan
Ku masih mendengar kecip unggasan
Ku masih bebas berjalan dengan angan-angan
Ini semua kerana kedamaianmu Malaysia

Bersyukurku kehadrat tuhan
Dilahirkan di sebuah negara yang aman
Tak perlu diusir atau diketepikan
Ini semua kerana kemakmuranmu Malaysia

Walau hingga kupejam mata bersemadi aman
Anak cucu panyambung warisan
Menjaga negara demi kecintaan
Demimu dan keranamu Malaysia
Moga tetap dalam kerahmatan tuhan