Ahad, 25 Oktober 2015

KEBAIKAN SEKTOR PELANCONGAN KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA


Tahun Melawat Malaysia dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 1990 bertemakan "Mengagumkan Malaysia. Tahun perayaan". Tema ini diguna pakai untuk menggambarkan negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum. Selain itu, maskot Orang Utan yang dinamakan "Wira" digunakan dalam kempen mempromosikan Malaysia ini. Bangunan Sultan Abdul Samad juga dijadikan sebagai logo rasmi Tahun Melawat Malaysia 1990. Tahun Melawat Malaysia 1990 menjadi titik tolak kepada Tahun Melawat Malaysia 1994, 2007, 2014 dan Tahun Melawat Malaysia yang akan datang. Sasaran kerajaan adalah untuk menerima 36 juta pelancong dan RM168 bilion pendapatan pada tahun 2020, seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.

Antara sumbangan sektor pelancongan ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sektor pelancongan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya dalam bidang perniagaan, perhotelan dan sebagainya. Hal ini dapat membantu masyarakat setempat menambah sumber pendapatan harian mereka. Penduduk setempat boleh menjadi pemandu pelancong, membuka restoran-restoran kecil di tepi jalan dan mewujudkan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS). Secara tidak langsung, sektor ini dapat mengurangkan masalah pengangguran di negara kita.

Kebaikan lain yang diperolehi melalui sektor pelancongan adalah pendapatan negara dapat di tingkatkan melalui pertukaran mata wang asing. Pelancong antarabangsa yang melancong di Malaysia perlu melakukan pertukaran wang negara mereka kepada ringgit Malaysia untuk berbelanja di negara ini. Negara juga mendapat keuntungan melalui kadar pulangan tukaran wang asing.  Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam seperti agensi pelancongan, bas, teksi dan sebagainya. Mereka juga membelanjakan wang untuk membeli cenderamata sebagai kenangan untuk dibawa balik ke negara mereka. Keuntungan daripada hasil ini boleh disumbangkan kepada pembangunan negara.

Di samping itu, sektor pelancongan juga mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Misalnya melalui kejohanan Formula 1 di Litar Sepang membolehkan peminat-peminat F1 ini datang ke Malaysia untuk menyaksikan kejohanan sambil menerokai tempat-tempat pelancongan yang ada di negara kita. Malaysia juga terkenal dengan adat resam serta budaya tersendiri yang dipelihara hingga kini. Dengan adanya Tahun Melawat Malaysia ini, kita dapat menunjukkan budaya dan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Tapak warisan dunia seperti Tapak Arkeologi Lembah Lenggong Perak,Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Taman Kinabalu, Sabah, serta Bandar Bersejarah Melaka dan Georgetown juga dapat menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk lebih memahami sejarah awal dan keindahan Malaysia.

Sektor pelancongan juga mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam bidang perhotelan, perumahan dan pengangkutan di negara kita. Hal ini kerana keadaan negara yang stabil dari segi ekonomi dan politik menyebabkan ramai pelabur berani untuk melakukan pelaburan di Malaysia. Kemasukan pelancong asing juga merupakan antara faktor utama pelabur asing memilih Malaysia. Kehadiran pelabur asing ke negara kita dapat meningkatkan taraf hidup penduduk miskin di negara kita. Hal ini kerana bilangan pekerja buruh dan mahir diperlukan untuk menyiapka sesuatu projek.

Kesimpulannya, sektor pelancongan banyak mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara itu sendiri. Hal ini kerana melalui sektor pelancongan, kita dapat meningkatkan ekonomi seterusnya membangunakan negara  menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, untuk merialisasikan wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri yang ke empat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, semua pihak harus berganding bahu untuk memajukan lagi sektor pelancongan di Malaysia.

2 ulasan:

  1. Tq..for much..dengan karangan ini...sye boleh mengetahui isi isi ypenting yang ditulis dalam karangan ini

    BalasPadam