Rabu, 28 Oktober 2015

KES PENDERAAN KANAK-KANAK


Kanak-kanak bermaksud mereka yang berusia lapan belas tahun ke bawah seperti yang termaktub
dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Manakala, penderaan kanak-kanak pula didefinasikan sebagai perbuatan zalim atau perlakuan yang mengasari seseorang kanak-kanak baikpun dari segi fizikal dan mental. Mendera kanak-kanak merupakan satu kesalahan besar dan boleh dikategorikan sebagai jenayah berat. Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak harus diberi pelindungan tidak boleh dianiaya, dibiarkan tanpa pengawasan dan dijadikan pengemis. Jika disabitkan kesalahan, seseorang individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Secara amnya, penderaan kanak-kanak dapat dibahagikan kepada tiga iaitu;
  • Penderaan fizikal                         
  • Penderaan mental
  • Penderaan seksual

Penderaan fizikal

Penderaan fizikal kanak-kanak bermaksud kecederaan secara tidak sengaja. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari pengabaian atau kecuaian ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggung jawab untuk menjaga kanak-kanak. Penderaan jenis ini dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal seperti lebam, luka, calar dan sebagainya.


Penderaan mental

Penderaan mental kerap terjadi tetapi sukar untuk dibuktikan dan tidak dapat dilihat dengan pancaindera, namun kesannya dapat dilihat melalui perkembangan pertumbuhan kanak-kanak itu. Kanak-kanak yang mengalami penderaan mental atau emosi kebiasaannya mengalami kemurungan, takut untuk bersuara dan suka manyendiri. Kebanyakan remaja yang mempunyai masalah sosial adalah disebabkan oleh sejarah hitam yang pernah mereka alami semasa kecil seperti didera, dipukul ibu bapa dan sebagainya.


Penderaan seksual

Penderaan seksual kebiasaannya terjadi kepada kanak-kanak perempuan. Penderaan ini merujuk kepada sebarang perlakuan individu yang memaksa, memperdaya atau mengugut kanak-kanak yang mendorong berlakunya hubungan seksual dengan mereka. Penderaan jenis ini boleh menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal dan kecederaan mental kepada kanak-kanak tersebut, Contohnya seperti kemurungan, tekanan emosi, trauma dan sebagainya. Penderaan jenis ini akan menyebabkan berlakunya masalah kepada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak



Antara kesan yang dialami oleh kanak-kanak yang didera ini ialah

Kesan fizikal

  • Penderaan kanak-kanak kebiasaannya dapat dilihat dengan jelas melalui kecederaan pada anggota fizikal mereka seperti luka di kepala, badan dan muka. Luka pada bahagian ini akan memberi kesan yang buruk terhadap mereka apabila meningkat dewasa. Di samping itu, terdapat juga kes kematian yang dilaporkan akibat penderaan kanak-kanak ini. Kerencatan otak juga boleh berlaku akibat hentakan di kepala oleh benda-benda keras.
Gangguan emosi dan mental

  • Penderaan yang dialami  akan menyebabkan seorang kanak-kanak berasa tertekan dan mengalami gangguan dari segi emosi dan mental. Kebiasaannya kanak-kanak ini merasakan diri mereka tidak disayangi. Mereka juga sering berada dalam ketakutan dan menjadi lebih pasif. Hal ini juga akan mengakibatkan kemerosotan dalam pelajaran seterusnnya mendorong kepada berlakunya masalah sosial


Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah berlakunya kes penderaan kanak-kanak

Penguatkuasaan undang-undang
  • Pihak kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal kepada pendera kanak-kanak. Hal ini akan menyebabkan seseorang pendera berasa takut untuk melakukan penderaan ke atas kanak-kanak.
Mengadakan kempen anti-penderaan
  • Kempen kesedaran perlu diadakan secara berkala bagi mendedahkan masyarakat tentang cara mencegah kes penderaan kanak-kanak ini. Kempen ini juga menerangkan tentang bahayanya melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Kesimpulannya, kes penderaan kanak-kanak merupakan satu perbuatan yang zalim. Kes ini kebiasaanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, untuk mencegah daripada berlakunya kes penderaan kanak-kanak ini, ibu bapa harus sedar tentang tanggung jawab dan peranan mereka untuk mendidik dan membesarkan anak-anak. Ungkapan melayu ada menyebut, anak ibarat kain putih ibu bapalah yang mencorakkan mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan